Memaparkan catatan dengan label Tatabahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tatabahasa. Papar semua catatan

Isnin, 12 Mei 2008

Kata Hubung

Kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menggabungkan:

  • perkataan dengan perkataan;
  • rangkai kata dengan rangkai kata; dan
  • ayat dengan ayat.


Kata hubung terbahagi kepada tiga iaitu
:

1. Kata hubung gabungan

Menggabungkan klausa-klausa yang sama tarafnya. Contoh kata ialah dan, atau, serta, tetapi, malahan, sambil, tetapi, sementara, sebaliknya, seterusnya.


2. Kata hubung pancangan

A. Kata hubung pancangan relatif
Kata hubung ini menghubungkan klausa utama dengan klausa klausa pancangan (kecil). Hubungan ini menggunakan kata hubung yang.

B. Kata hubung pancangan komplemen
Kata hubung ini menghubungkan satu klausa sebagai komplemen pada satu klausa utama. (Komplemen bermaksud pelengkap). Jadi, klausa klausa pancangan komplemen itu melengkapkan klausa utama. Kata hubung yang berperanan begitu ialah bahawa dan untuk.

C. Kata hubung pancangan keterangan
Kata hubung pancangan keterangan menghubungkan klausa keterangan kepada klausa utama. -Kata hubung itu ialah kerana, agar, meskipun, sekiranya, semoga, supaya, kalau, andaikata, kendatipun, hingga, jika, jikalau, semasa, sementara, setelah, sewaktu, sekiranya, ketika, tatkala, walaupun, dan sesungguhnya.

3. Kata hubung pasangan.
Kata hubung ini selalunya wujud dalam berpasangan dan merupakan gabungan kata hubung pancangan dan kata hubung gabungan. Kata hubung itu ialah baik...mahupun, baik...baik, bukan sahaja... malah, entah...entah,jangan...pun, kian...kian, sama ada... ataupun, sedangkan...inikan pula, semakin...semakin, sungguhpun...tetapi, dan walaupun...namun..


Tatabahasa Bahasa Malaysia

Tatabahasa adalah bidang ilmu yang mempelajari kaedah-kaedah yang mengatur penggunaan bahasa. Ilmu ini merupakan sebahagian dari bidang ilmu yang mempelajari bahasa iaitu linguistik.

Secara umumnya, tatabahasa bahasa Melayu mencakupi dua bidang:

  • Morfologi: kajian tentang kata dan pembentukan kata, kelas kata dan imbuhan.
  • Sintaksis: kajian tentang pembentukan ayat.
Morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur, pembentukan kata dan golongan kata. Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu ialah morfem. Para pelajar juga perlu mengetahui maksud istilah morfem dan kata. Ini kerana kedua-dua adalah berbeza dari segi fungsi dan konsep

Morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata ini terdiri daripada satu unit atau satu morfem. Misalnya "minum". "Minum" tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada mi dan num. Sebaliknya, kata "diminum" boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu "di" dan "minum". Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.
Morfem boleh dibahagi kepada dua, iaitu morfem bebas dan morfem terikat.

Morfem Bebas:
Dapat berdiri sendiri dan mempunyai maksud sendiri, misalnya: minum, cuti, sekolah, periksa

Morfem terikat/imbuhan
:

Bentuk imbuhan, misalnya: mem, per, kan, ber... Maka,morfem ini tidak mempunyai makna tetapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu. Boleh mengubah makna sesuatu kata dan seterusnya makna ayat.

Morfem terikat/imbuhan boleh dibahagi seperti berikut:

  • Awalan. Ditambah pada bahagian depan kata dasar. Misalnya membaca, menghafal.
  • Akhiran. Ditambah pada bahagian belakang kata dasar.
  • Sisipan. Diselit di antara unsur unsur kata dasar. Misalnya telapak (tapak)
  • Apitan. Ditambahkan serentak pada awalan dan akhiran kata dasar. Misalnya, imbuhan per....an dalam permainan.


Proses terbentuknya ayat bermula daripada morfem

MORFEM --> PERKATAAN --> FRASA --> KLAUSA --> AYAT


Sintaksis merupakan satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat.